Jelajah Raya Dari Selatan Ke Utara! Raya Di Kampung Lebih Unik!


Kalau kisah hari raya pertama saya telah saya kongsikan pengalaman beraya di Muar, (dari posting sebelum ini)
kali ini saya ingin sambung pengalaman beraya dari Selatan ke Utara pula.

Raya Kedua, bermula pada jam 10 pagi. Kami tiga beranak merancang untuk menyertai sanak-saudara untuk ke Johor Bahru. Ya, semalam kami baru sahaja tiba dari Muar, hari ini sekali lagi dari Senawang, kami menuju ke arah selatan. Untuk menziarahi ibu saudara, Mak Long dan Pak Long di Skudai. Walaupun sepupu-sepupu rapat saya anggap ini kerja gila, saya tetap gigih untuk ke Johor sekali lagi.

Dengan keadaan trafik yang agak baik sepanjang jalan, kami tiba di Skudai jam 4.00 petang. Alhamdulillah, kami sempat berkumpul sanak saudara dari Muar yang tiba awal 2 jam sebelum kami. Meriah dan penuh sorak-sorai, sendaloka dan riuh rendah apabila kami yang jarang bertemu bersama-sama di hari raya. Indah sungguh momen ini.







Kami bermalam di rumah Mak Long dan Pak Long. Keesokan harinya, selepas selesai sarapan pagi, kami terus bergegas ke KLIA untuk menghantar sahabat baik kami sejak 2009, yang juga rakan sepejabat, rakan sehobi, yang sentiasa jadi peneman cuti-cuti kami. Nur Zaim dan Norzaimah, suami isteri akan ke Alexandaria, Mesir kerana mendapat tawaran untuk bertugas di Pejabat MARA Mesir. Kami yang agak ragu-ragu sama ada sempat atau tidak untuk bertemu dengan sahabat kami ini yang akan terbang jam 3 petang.


Alhamdulillah, dengan izin Allah, keadaan trafik yang lancar menemukan kami dengan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA jam 1 tengah hari.

Seperti biasa, Aryan yang sememangnya manja mula menunjukkan wajah comel yang sedih seperti seolah-olah faham bahawa Pakcik Zaim nya akan pergi jauh. Si kecil 2 tahun 3 bulan ini memecah hening dengan gelagat dramanya.



Apa-apapun, kali ini kami tak sempat beraya dengan Zaim dan keluarga. Kami mendoakan Zaim dan Zaimah akan dapat menjalankan tugas di tempat baru lebih-lebih dari di negara orang dengan lebih semangat. Serta mendoakan keselamatan dan kesihatan yang baik untuk mereka berdua. In Sha Allah, ada rezeki nanti, kita akan bertemu lagi sama ada di Malaysia semula atau di Mesir? Mana tahu, ada rezeki lebih, kerana kami bertiga pun tidak pernah menjejakkan kaki di bumi Kaherah.



Aamin.


Selesai pertemuan kami dan makan tengah hari di KLIA, kami teruskan perjalanan dengan Si Badak Biru ke Utara pula! Ya, ibu mertua pada ketika itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Kurau ke Setiawan, almaklum kami masih belum beraya dengan MAMA.



Perjalanan diteruskan ke Sitiawan.

Langit Yang Tenang Dan Indah Dari Gerbang Masuk Ke Sitiawan

Hampir 4 jam perjalanan dengan aliran trafik yang agak sesak akhirnya menjanjikan kami tiba di 'Homestay' yang ditempah pada jam 7.00malam.

Besar, Selesa dan Murah. Homestay Berbvaloi Di Sitiawan


Malam harinya kami beraya di rumah sahabat isteri di kawasan Sitiawan. Hanya satu rumah kerana kami dah berjanji untuk berjalan raya di rumah saudara-mara bermula tengah hari esok.
Rumah pertama di Sitiawan untuk beraya, Rumah Pegawai MARA Daerah Manjung, Kak Pah :)

Keesokan harinya, Hari Raya Keempat, kami bersarapan di Restoran Nasi Kandar sahaja kerana hanya kedai ini sahaja yang buka ketika itu.
Memandangkan ipar duai tidak pernah pergi ke Pulau Pangkor, kami saat-saat akhir menukar rancangan untuk memasuki Pulau Pangkor menaiki bot dari Jeti Marina. Dari 'homestay' selesa yang kami sewa itu hanya memakan masa selama kurang 15minit sahaja ke Jeti Marina.

Kami tiba di Jeti Marina dan terus menaiki bot. Teruja sungguh Aryan, walaupun ini bukan pengalaman si kecil ini menaiki bot.


Yeay!!! Kami nak naik bot ke Pulau Pangkor

Aryan teruja menaiki bot



Setibanya di Pulau Pangkor, seperti biasa kaum-kaum ibu akan membeli -belah. Hasil laut seperti sotong dan ikan bilis adalah hasil laut wajib yang akan dibawa pulang. Kami tidak lama di Pulau Pangkor, sekadar membeli belah dan membeli cenderakenangan untuk dibawa pulang. Aktiviti terakhir kami ialah menikmati kelazatan Laksa dan ABC Pangkor yang sungguh  menyelerakan. Ini kerana kami perlu tiba di Jeti seawal jam 2 petang kerana telah berjanji dengan Pak Long, Pak Tam dan Pak Lang untuk ke sana.

Pemandangan Indah Pulau Pangkor


Iklan Bilis dan Hasil Laut Murah Di sini

Syurga Beli Belah Kaum Hawa

ABC Istimewa

Sejurus tiba di jeti, kami terus ke Kg Lekir 10 untuk ke rumah bapa saudara. Menikmati suasana kampung yang amat mengujakan menjadikan kami 'jakun' dengan buah-buahan kampung dari pokok, tanaman yang segar, serta lauk pauk kampung yang sangat sedap!


Pak Tam yang rajin menanam



Buah Kelapa Muda yang dinikmati bersama isi yang lembut, serta air yang mani :)

Pisang Tanduk Yang Ditanam Oleh Pak Tam

Mandi Di Luar, Kebiasaan Bila Di Kampung

Keluarga Besar Sebelah Isteri


Merasalah kami Kari Burung Wak-Wak di rumah Pak Tam. Ini kali pertama saya merasainya dan ya, rasanya sangat unik dan terbaik. Beraya di kawasan kampung dengan kedudukan rumah bapa saudara yang berhampiran antara satu sama lain menjadikan ziarah kami sungguh meriah.

Aryan teruja melibat ayam-ayam berlari-lari dan menikmati suasana kampung sebenar yang sungguh indah.

Pertama kalinya saya beraya di rumah saudara isteri di Sitiawan memberikan satu pengalaman luar biasa yang cukup istimewa. Berkumpul dan bersembang sambil mengenali satu sama lain menambahkan koleksi saudara mara.

Alhamdulillah.

Comments

Popular Posts